Tuesday 25 December 2012


Cth soalan BML 3113 Sej bhs
1 Dalam bahasa Melayu, akhiran –wi, -iah, -in, dan –at dipinjam daripada bahasa
A Latin
B Parsi
C Arab
D Sanskrit

• Penyediaan ejaan
• Penyediaan tatabahasa
• Penyediaan variasi standard
2 Penyataan di atas merujuk usaha perancangan bahasa dalam bahagian
A kodifikasi
B pelaksanaan
C pemupukan
D pembinaan

3 Antara peristiwa-peristiwa berikut, yang manakah menggambarkan penggunaan bahasa mesra?
I Perbualan antara ibu dan ayah
II Adik bertengkar dengan kakak
III Perbincangan dua sahabat tentang kerja
IV Perbualan dua orang dari dailek yang sama
A I dan II
B II dan III
C III dan IV
D I dan IV

4 Antara berikut, yang manakah ciri utama laras rencana?
I Kerencaman idea
II Mementingkan tajuk
III Gaya terkawal
IV Bersifat umum
A I dan II
B II dan III
C I dan IV
D III dan IV

5. Antara berikut yang manakah dititikberatkan sewaktu membuat keputusan
dasar tentang perancangan bahasa?
I Pemilihan bahasa yang akan dirancang.
I Pemilihan bahasa kebangsaan
III Kedudukan bahasa-bahasa lain
IV Pemilihan bahasa standard daripada pelbagai bahasa dialek
A I dan III            B III dan IV
C I, II dan III        D I, III dan IV

6. Dalam perancangan bahasa, pengekodan penting dan usaha ini dikaitkan dengan
A penciptaan istilah teknikal
B pemilihan sebutan standard
C penyediaan sistem ejaan standard
D pengayaan bahasa standard

7 Cabang-cabang bahasa yang tergolong dalam rumpun bahasa Austronesia ialah
A Nusantara, Austroasia, Polinesia, Melanesia.
B Nusantara, Polinesia, Melanesia, Mikronesia.
C Nusantara, Austronesia, Polinesia, Melanesia.
D Nusantara, Tibet-China, Melanesia, Mikronesia.

8. Ciri-ciri bahasa Melayu kuno yang terdapat pada batu-batu bersurat ialah
I awalan ber- ditulis sebagai mar-
II terdapat konsonan rangkap seperti dz dan dh
III e pepet selalunya digugurkan atau diganti dengan a
IV huruf w digunakan untuk huruf b dalam bahasa Melayu moden.
A I dan II
B II dan IV
C I, III dan IV
D I, II, III dan IV


9 Antara berikut, yang manakah ciri bahasa Melayu Klasik?
I Penggunaan bahasa istana.
II Wujud penyongsangan ayat.
III Penggunaan ayat aktif melebihi ayat pasif.
IV Gaya penulisan dipengaruhi oleh bahasa Arab.
A I dan II B II dan IV
C I, II dan IV D I, III dan


Jawapan: 1.c 2 a 3 c 4 b 5c 6 c 7 b 8c 9 c

Thursday 11 October 2012

Kursus Penyebaran KSSR dan PBS Bahasa Malaysia Tahun 3 di SK Seri Permaisuri Kuala Lumpur.

Tuesday 11 September 2012

SEMESTER 3 PJJ

KRP3013: KURIKULUM DAN PENGAJARAN SEKOLAH RENDAH

PENSYARAH KRP3013
Dr. Ikhsan bin Othman
E-mail : ikhsan@upsi.edu.my
Telephone No. : 01548117492







MODUL KRP3013
https://staf-digital.upsi.edu.my/xythoswfs/webui/_xy-559706_1-t_NDFoHOvf


PANDUAN KERJA KURSUS KRP 3013
https://staf-digital.upsi.edu.my/xythoswfs/webui/_xy-651000_1-t_7q4417Dh

Tuesday 19 June 2012

LATIHAN SUKAN

Petang tadi bertugas melatih murid-murid Rumah Merah bagi acara lontar peluru. Kepada murid-murid Rumah Merah yang terpilih sila baca DI SINI

Lontar Peluru


Tuesday 12 June 2012

Pendidikan Muzik

Kepada murid-murid 3 Anugerah & 3 Amanah, minggu depan kita nyanyi lagu ni masa Pendidikan Muzik.



Thursday 31 May 2012

MOTIVASIKAN DIRI

~ Jangan menunggu BAHAGIA baru TERSENYUM,
tapi tersenyumlah, maka kamu akan bahagia!

~ Jangan menunggu KAYA baru BERSEDEKAH,
tapi bersedekahlah, maka kamu semakin kaya!

~ Jangan menunggu TERMOTIVASI baru BERGERAK,
tapi bergeraklah, maka kamu akan termotivasi!

~ Jangan menunggu DIPEDULIKAN orang baru kamu PEDULI,
tapi pedulilah tentang orang lain, maka kamu akan dipedulikan!

~ Jangan menunggu orang MEMAHAMI kamu baru kamu memahami mereka,

tapi fahamilah orang itu, maka orang itu akan faham dengan kamu..

~ Jangan menunggu TERINSPIRASI baru MENULIS,

tapi menulislah, maka inspirasi akan hadir dalam tulisanmu..

~ Jangan menunggu HOMEWORK baru BEKERJA,
tapi bekerjalah, maka homework kamu akan menunggumu..

~ Jangan menunggu DICINTAI baru MENCINTAI,
tapi belajarlah mencintai,maka kamu akan dicintai..

~ Jangan menunggu banyak RUANG baru hidup TENANG,
tapi hiduplah dengan tenang. Percayalah...bukan sekadar ruang yang datang tapi juga rezeki yang lainnya..

~ Jangan menunggu CONTOH baru bergerak MENGIKUTI,
tapi bergeraklah, maka kamu akan menjadi contoh yang diikuti..

~ Jangan menunggu BERJAYA baru BERSYUKUR,
tapi bersyukurlah, maka akan bertambah kejayaan..

~ Jangan menunggu MAMPU baru MELAKUKAN,
tapi lakukanlah sekadar termampu..

~ Jangan menunggu sudah TUA baru BERTAUBAT,
kerana KEMATIAN menjemput tidak mengenal WAKTU~~


Semoga bermanfaat buat semua..

Tuesday 29 May 2012

REALITI KEHIDUPAN

REALITI KEHIDUPAN: HIDUP INI CUMA ADA……

by hazaldin
HIDUP KITA CUMA DI DALAM 3 HARI
Semalam ~ Sudah menjadi sejarah.
Hari Ini ~ Apa yang sedang kita lakukan.
Esok ~ Hari yang belum pasti .
Hisablah hari pertama semoga hari yang kedua
kita lebih baik kerana mungkin ajal kita pada hari yang kedua.

HIDUP CUMA DALAM 2 NAFAS
Nafas Naik.
Nafas Turun.
Hargailah Nafas yang naik kerana udara yang disedut adalah pemberian Allah secara percuma dan carilah keredhaan~Nya dalam menggunakannya.
Bertaubatlah dalam Nafas yang kedua kerana mungkin itu
nafas yang terakhir keluar dari tubuh bersama
nyawa dan roh untuk meninggalkan dunia yang fana ini.
HIDUP CUMA ADA2 PILIHAN
Hidup dalam keredhaan Allah.
Hidup dalam kemurkaan Allah.
HIDUP YANG ABADI CUMA ADA2 TEMPAT
Kekal di dalam neraka.
Kekal di dalam syurga.
Ingatlah kecelakaan neraka itu amat mengerikan
dan kita hanya diyakinkan oleh keyakinan kita kepada rukun IMAN.
Rukun Iman itu pula ada 6 dan apabila
hilang salah satu daripadanya maka hilanglah ia.
Kelazatan dan kesejahteraan syurga itu maha HEBAT.
Tidak terduga oleh fikiran kita dan untuk mendapatkannya
terjemahkan rukun ISLAM yang 5 itu
dan puncaknya adalah SOLAT ... Amat sukar untuk dipercayai
bagi yang ingin ke SYURGA tetapi tidak bersolat,
umpama seorang yang mahu menaiki kapal terbang,
tetapi tidak mempunyai boarding pass.
Dan mereka yang sengaja melalaikan solat,
umpama mengeposkan sepucuk surat tanpa melekatkan setem ...
apabila ditanya bagaimana surat itu akan sampai
pada penerimanya ... lalu dia pun berkata
setemnya akan dihantar kemudian.
Ada2 penyelesaian dalam kes ini :
Dia mungkin didenda ... atau, suratnya masuk tong sampah.
Oleh itu, tidakkah kita semestinya bersyukur
atas segala nikmat yang Allah kurniakan kepada kita ...
Sekurang-kurangnya Allah telah memberi udara
secara percuma untuk kita berzikir mengingati~Nya
setiap detik dan ketika, hinggalah kita kembali
kepada Allah dalam keadaan jiwa yang tenang ...
lalu masuk ke dalam syurga dalam keadaan
kita redha dan Allah meredhai.
malaysiaria

Monday 28 May 2012

TAMBAHKAN PERBENDAHARAAN KATA

1. SERBU - datang, pergi, masuk, rempuh

Bas yang dinaiki oleh para pelakon dari Malaysia itu kami serbu untuk mendapatkan tanda tangan pelakon yang kami minati.


2. MENYERBU - menyerang , merempuh, meluru

Selesai sahaja imam memberi salam, anak-anak muda itu menyerbu keluar dari masjid itu.


3. SERBUAN - hasil menyerbu, serangan

Penjahat yang licik itu dapat melepaskan diri daripada serbuan polis.


4. PENYERBU - orang yang menyerbu

Aku berharap penyerbu itu mempunyai rasa kasihan kepada nenek aku yang lumpuh itu.


5. SESAK - tidak lapang, sempit, terlalu penuh

Feri ke Pulau Labuan sesak pada masa cuti perayaan.


6. BERSESAK-SESAK - berhimpit-himpit, bersempit-sempit

Para penonton perlawanan boleh sepak itu bersesak-sesak keluar dari stadium selepas perlawanan tamat.


7. MENYESAKKAN - menyebabkan sesak, menyempitkan

Udara terkurung dan lembap di dalam bilik yang kecil itu menyesakkan hidung mereka.


8. KESESAKAN - perihal sesak, kesempitan, kesukaran

Kesesakan lalu lintas sering menyebabkan pengguna hilang kesabaran.


9. LESTARI - kekal, tetap, tidak berubah

Kasih sayang ibu bapa kepada anak-anak mereka adalah lestari.


10. MELESTARIKAN - menetapkan, mengekalkan

Kita harus berusaha melestarikan budaya dan adat istiadat unik masyarakat.


11. KELESTARIAN - keadaan yang tidak berubah, keaslian

Kelestarian hutan dara di negara kita mesti diutamakan.


12. PELESTARIAN - perlindungan daripada kemusnahan

Pelestarian hutan dara di negara ini akan mengelakkan kemusnahan flora dan fauna.


Sumber : Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kuala Lumpur, Edisi Ketiga.

PERIBAHASA TENTANG AYAM


PERIBAHASA (AYAM)
1.   
1.  Ayam baru belajar berkokok
maknanya : masih muda, belum cukup umur.

2.    Bagai ayam naik ke surau
maknanya : Naik atau pergi ke rumah orang yang tidak menghidangkan apa-apa makanan.

3.    Ayam bertelur di atas padi
maknanya : hidup dalam keadaan senang.

4.    Bagai ayam disambar helang
maknanya : hilang dalam sekelip mata.

5.    Seperti ayam makan rumput
maknanya : hidup dalam keadaan melarat (miskin) atau susah.

6.    Seekor ayam tak berkokok, hari tak siangkah?
maknanya : orang yang pandai bukan seorang.

7.    Ayam tak patuk, itik tak sudu
maknanya : dalam keadaan yang hina.

8.    Bagai ayam dimakan tungau
maknanya : pucat dan kurus kerana penyakit.

9.    Umpama ayam menetaskan telur itik, anaknya itu ke air juga
maknanya : perangai yang diwarisi daripada baka (keturunan) tidak dapat dihapuskan.

10.  Meneka ayam dalam telur
maknanya : membuat kerja sia-sia atau kerja yang sudah diketahui keputusannya.

Wednesday 16 May 2012

SELAMAT HARI GURU

"GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA"



Guru berinovasi adalah guru berkualiti: Muhyiddin
2012/05/16

KUALA KANGSAR: 
Menurut Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran, Guru berinovasi adalah: 
  • guru yang berkualiti dalam menempuh era globalisasi yang semakin diwarnai oleh ekonomi berteraskan ilmu dan inovasi. 
  • guru yang mempunyai kebolehan untuk melengkapkan murid dengan kemahiran alaf baru seperti keupayaan berfikir secara bijaksana, menyelesaikan masalah dan daya kreativiti yang tinggi. 
  • guru yang akan menekuni kurikulum dan menilai apakah keberhasilan yang ingin dicapai.
  • guru yang tidak akan terikat dengan sesuatu cara dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, sebaliknya sentiasa berfikir di luar kotak pemikiran biasa untuk mencari kaedah serta pendekatan baru yang lebih berkesan. 
  • guru yang memastikan murid berupaya menggunakan ilmu yang diajarkan di dalam bilik darjah bukan semata-mata untuk berjaya dalam peperiksaan malah membolehkan mereka menyelesaikan masalah yang dihadapi di dunia nyata.
  • guru yang mampu menyediakan persekitaran pembelajaran paling kondusif dan memberi ruang seluas-luasnya kepada murid untuk mengasah kebijaksanaan berfikir. 
  • guru yang berupaya menilai pencapaian dan potensi murid secara holistik serta sentiasa mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan kecemerlangan murid supaya dapat bersaing di dunia yang semakin mencabar juga adalah guru berinovasi. 
  • guru yang sentiasa memikirkan apakah cabaran yang bakal dihadapi oleh murid setelah mereka melangkah keluar dari lingkungan sekolah, dan apakah ilmu yang dipelajari di sekolah mampu memberi kelebihan kepada mereka untuk bersaing di dunia nyata.

Sekiranya semua guru di negara ini adalah guru inovasi, Muhyiddin yakin matlamat untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan tinggi, kreatif, inovatif dan berketrampilan akan tercapai.

Katanya, bagi memantapkan budaya inovasi di sekolah, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi sedang merangka Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovatif untuk menyemai budaya inovatif dan kreatif di kalangan murid.

Muhyiddin berkata, menerusi pelan ini, sekolah akan bertindak sebagai agensi pelaksana yang menjalankan pengajaran dan pembelajaran secara kreatif.

"Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovatif diharap akan digunakan sepenuhnya oleh guru sebagai garis panduan untuk mencapai hasrat negara meningkatkan keupayaan daya saing negara yang diukur berdasarkan kemampuan rakyat untuk berinovasi," katanya.

Beliau berkata, kerjasama kementerian dengan Agensi Inovasi Malaysia untuk membudayakan kemahiran berfikir melalui Program i-Think juga adalah pendekatan baru yang sesuai digunakan oleh guru untuk meningkatkan pena'akulan di kalangan murid.

"Program ini sudah dirintis di 10 sekolah dan diharapkan dapat diperluaskan ke seluruh negara untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran," katanya. 
 

Sumber: Berita Harian

Friday 11 May 2012

GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA


Sedutan di penghujung khutbah Jumaat hari ini yang perlu kita renungi bersama:
.

Sidang Jumaat yang dihormati;

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru dan berpesan, marilah sama-sama kita menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru melalui tindakan berikut:

Pertama:
Mendoakan kebahagian buat guru-guru, sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.
Kedua:         
Menziarahi guru-guru untuk mengeratkan silaturrahim.

Ketiga:        
Menghulurkan apa juga bentuk sumbangan mengikut kemampuan masing-masing kepada institusi pendidikan.

Keempat:    
Berkatalah dengan lemah-lembut dan jangan sekali-kali menyakiti hati guru.

Kelima:       
Ucapkanlah terima kasih kepada guru-guru dan semua insan yang pernah menabur bakti dan budi kepada kita.
.
Buat para guru pula, mimbar berpesan teruslah beristiqomah dengan penuh keikhlasan dan kesabaran dalam menyampaikan ilmu  kepada anak bangsa, mudah-mudahan akan diberi ganjaran oleh Allah SWT. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:

  ÙˆَتَعَاوَÙ†ُوا۟ عَÙ„َÙ‰ ٱلْبِرِّ ÙˆَٱلتَّÙ‚ْÙˆَÙ‰ٰ ۖ ÙˆَÙ„َا تَعَاوَÙ†ُوا۟ عَÙ„َÙ‰ ٱلْØ¥ِØ«ْÙ…ِ ÙˆَٱلْعُدْÙˆَٰÙ†ِ ۚ ÙˆَٱتَّÙ‚ُوا۟ ٱللَّـهَ ۖ Ø¥ِÙ†َّ ٱللَّـهَ Ø´َدِيدُ ٱلْعِÙ‚َابِ ﴿Ù¢

Maksudnya: dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan ( kebaikan ) dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana Allah sesungguhnya Maha Berat Azab siksanya (bagi sesiapa yang melanggar perintahnya). 
.
.
 .
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Guru Penjana Inovatif Pendidikan
(11 Mei 2012 / 19 Jamadilakhir 1433H)

Wednesday 9 May 2012

MARI MEMBACA BUKU CERITA

Pesta Buku Antarabangsa di PWTC telahpun berakhir pada hari Ahad 6 Mei yang lalu. Pada hari terakhir banyak buku yang dijual dengan harga yang lebih istimewa. Namun pada hari tersebut merupakan hari yang paling ramai pengunjung bersesak-sesak. Mungkin ramai di kalangan murid-murid Cikgu Azian yang tidak berpeluang ke Pesta Buku tersebut. Tidak mengapa, walaupun kamu tidak berpeluang membeli buku di sana, di sini cikgu hidangkan 'e-buku Cerita Nenek' yang mengandungi 10 siri cerita-cerita teladan yang menarik.

Sila klik pada tajuk-tajuk di bawah untuk membacanya.
Klik pada kanta pembesar untuk bacaan yang lebih jelas.

1.   Leher Angsa Yang Panjang



2.   Ayam Mengais Tanah



3.   Kerbau Balar Menjadi Liar



4.   Kelawar Terbang Malam



5.   Kera Tidak Berumah

6.   Pinggang Kerengga Ramping



7.   Kucing dan Harimau Bermusuhan



8.   Udang Galah Menjadi Bongkok




9.   Puyuh Tidak Berekor



10.  Zirafah Berleher Panjang




Cuba kamu lihat pada Pautan Pembelajaran di sebelah kanan blog cikgu. Ada banyak lagi cerita-cerita yang boleh kamu cari di CD Cerita DBP dan menonton video di Multimedia DBP. Setelah puas membaca bolehlah berkunjung ke laman permainan yang disediakan.
Cuba klik di sini:
1.   Ayam Mematuk Cacing
2.   Burung dan Epal
3.   Selamatkan Diri
4.   Kera Memanjat Pokok

Buat pengetahuan kamu, setelah membaca cerita-cerita dari e-buku, bolehlah kamu isikan maklumatnya ke dalam buku Nilam kamu.

SELAMAT MEMBACA


Tuesday 1 May 2012

Pesta Buku di PWTC

Pada 30 April 2012 saya telah berkunjung ke Pesta Buku Antarabangsa di PWTC. Selain daripada pelbagai bahan bacaan yang berinformasi dan menarik, saya juga tertarik dengan u-Pustaka.

Apa itu u-Pustaka?

u-Pustaka merupakan satu perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan bagi menyokong konsep Pustaka 1 Malaysia iaitu:

  • Menyediakan akses kepada gedung sumber ilmu pengetahuan kepada seluruh lapisan masyarakat tanpa sempadan masa dan lokasi.
  • Menggalakkan pengalaman pembelajaran sepanjang hayat serta pembangunan sosial dan ekonomi.
  • Mendokong konsep 1 Malaysia di dalam masyarakat berasaskan ilmu pengetahuan.

Untuk maklumat lebih lanjut dan daftar keahlian sila layari www.u-pustaka.gov.my




Anak sulung saya (berbaju oren) bekerja sambilan di pesta buku sementara cuti semester.
Kwn2 yg nk diskaun leh la jmp dia di sana... hehe.


Anak bongsu saya (bertudung kelabu) turut menyertai pertandingan menyusun puzzle.

Banyak buku2 yang menarik. Jangan lepaskan peluang ke sini.

Monday 30 April 2012

PENSYARAH E-LEARNING DAN TUTOR SEMESTER 2/2012

Ribuan terima kasih diucapkan kepada pensyarah-pensyarah e-learning dan tutor Kumpulan NSM (Kolej Mara Seremban) yang telah banyak membantu kami, demi kejayaan yang kami impikan. Perjalanan kami masih jauh. Doakan kami berjaya.


   
KRT3013: Pn Nadia Akma bt Ahmad Zaki
KPF3012: Dr Norila bt Md Salleh

KRB3033: En Abdullah bin Yusof
KPD3026: En Ridzuan bin Jaafar


TUTOR KRT3033: Pn Amrizah Ahmad Basra

TUTOR KPD3026: En Muhammad Ali Halim

Saturday 28 April 2012

SECEBIS KISAH

Secebis Kisah Pengajaran Karangan di Sekolah Rendah
Seorang guru Bahasa Melayu baru bertukar ke sekolah baharu. Dia berhadapan dengan beberapa orang murid tahun lima yang masih belum mampu menghasilkan karangan yang baik. Walaupun masa untuk menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) hampir dua tahun lagi, guru itu tetap risau akan keadaan murid-muridnya. Dia mahu membantu murid-murid itu mulai awal tahun ini juga. Dia meminta pandangan saya.

Langkah pertama yang perlu cikgu lakukan ialah meneliti profil murid. Kenali setiap murid dari pelbagai sudut, khususnya prestasi pembelajaran mereka. Kemudian, berbincanglah dengan guru yang mengajarkan karangan kepada mereka pada tahun-tahun sebelumnya. Cikgu mungkin memperoleh banyak maklumat daripada guru-guru yang berkenaan.

Selain itu, adakan juga perbincangan dengan murid-murid agar cikgu dapat meneroka kekangan yang mereka hadapi daripada mulut mereka sendiri. Setelah itu dan setelah melakukan beberapa tindakan yang lain, barulah cikgu dapat melakukan tindakan pembetulan dan penambahbaikan. Tegasnya, penyelesaian masalah hendaklah berdasarkan dapatan penyelidikan dan analisis data.

Dari segi pedagogi, sebelum mengarang murid mesti menguasai aspek tulisan mekanis. Aspek itu ialah kemahiran menulis huruf, suku kata dan perkataan. Hal ini dapat dilihat dari berbagai-bagai sudut. Antaranya termasuklah ketepatan bentuk, jarak, tekanan, kecondongan, kekemasan dan kepantasan. Aspek mekanis yang lain ialah kemahiran menggunakan huruf kecil, huruf besar dan tanda baca.

Cikgu sedia maklum bahawa antara tugas guru Bahasa Melayu termasuklah mengendalikan pemulihan ringan, iaitu pemulihan dalam bilik darjah biasa. Dapatan penyelidikan dan analisis data pasti membantu cikgu membuat keputusan sama ada murid-murid itu masih perlu menjalani pemulihan tulisan mekanis atau tidak.

Aspek penguasaan ejaan dan kosa kata amat penting. Jikalau kita mengabaikan aspek ini, karangan murid mungkin kurang bermutu atau “buruk” seperti karangan tentang “datuk saya” yang menjadi bahan lelucon dalam Facebook. Sayang, masyarakat kita lebih berminat menjadikan kelemahan orang sebagai bahan lelucon dan bukannya bahan analisis untuk melakukan pembetulan dan penambahbaikan. Saya yakin, cikgu tidak tergolong dalam kategori orang awam itu. Analisislah karangan murid-murid cikgu. Kemudian, rancang dan laksanakanlah aktiviti yang membolehkan murid-murid itu mengatasi kelemahan mereka dari segi ejaan dan kosa kata.

Guru yang baik mengadakan berbagai-bagai aktiviti untuk membantu murid menguasai ejaan dan kosa kata. Antaranya, mereka mengadakan aktiviti imlak dengan cara yang menyeronokkan seperti menyalin pengumuman, lirik lagu dan resipi. Teknik permainan bahasa seperti teka silang kata dan sahiba juga memungkinkan murid meningkatkan kemahiran mengeja dan menambah kosa kata. Gunakan teknik ini dan teknik lain agar asas untuk murid-murid cikgu itu menghasilkan karangan yang baik bertambah kukuh.

Karangan ialah gubahan fikiran yang terjelma secara lisan atau tulisan. Amat malang jikalau murid membawa kebiasaan lisan (terutamanya dalam situasi tidak formal) dalam penulisan mereka. Perkara ini sudah berlaku dan kelihatannya masih terus berlaku. Saya berharap kita bersama-sama menjadi benteng agar perkara ini tidak terus berlaku. Ada kumpulan teladan di alam nyata dan dalam interaksi maya yang dapat kita contohi. Sebagai guru atau mantan guru Bahasa Melayu, kita wajar menyertai kumpulan contoh itu. Kita bersama-sama dengan mereka menggunakan bahasa Melayu baku, sopan dan indah dalam pelbagai ranah komunikasi. Insya-Allah, murid-murid kita akan mencontohi kita dan hasilnya akan terpancar dalam karangan mereka.

Sekali lagi, karangan ialah gubahan fikiran. Gubahan fikiran yang ringkas ialah satu perkataan. Guru yang baik mengajarkan karangan secara bertatatingkat, iaitu menulis perkataan, frasa, satu ayat, beberapa ayat dan seterusnya beberapa perenggan. Maka wujudlah beberapa teknik. Antaranya termasuklah karangan berpandu, karangan terkawal dan mengarang secara bebas. Setiap teknik ini ada subtekniknya yang tersendiri. Mereka yang bergelar guru Bahasa Melayu di sekolah rendah mengetahui teknik ini dan berkemahiran mengendalikannya dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Jadi, gunakanlah teknik yang bersesuaian dengan murid-murid cikgu.

Inilah pandangan saya secara umum dan ringkas tentang penulisan karangan di sekolah rendah. Adapun pandangan dan dorongan mendalam serta latihan, wajarlah diperoleh melalui pembacaan, bengkel, kursus dan sebagainya.

Sumber : Catatan Mohd Isa Abd Razak

Monday 16 April 2012

TEMA HARI GURU 2012

"GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA"

Selamat Menyambut Hari Guru Kepada Semua Warga Pendidik
Pada 16 Mei

SEJARAH HARI GURU

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

OBJEKTIF HARI GURU
  • " Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.
  • " Menarik perhatian ibubapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia.
  • " Memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah di antara guru.
  • " Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.
  • " Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar-seminar, persidangan-persidangan, dan sebagainya yang diadakan pada Hari Guru.
  • " Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.

IKRAR GURU
Bahawasanya kami
Guru-guru negara Malaysia
Dengan ini berikrar
Mendukung terus cita-cita kami
Terhadap tugas kami
Dan menyatakan keyakinan kami
Pada cita-cita murni pekerjaan kami

Kami akan berbakti
Kepada masyarakat
Dan negara kami.

Kami sentiasa menjunjung
Perlembagaan negara
Kami mengamalkan
Prinsip-prinsip Rukun Negara
Pada setiap masa.


Lagu Tema Hari Guru 2012

"GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA"


Tuesday 10 April 2012

Nyanyian rakyat

  • Nyanyian rakyat merupakan seni puisi berlagu dan berirama serta mempunyai kecantikan lirik untuk diwarisi oleh bangsa Melayu sejak berzaman. Lagu-lagu itu merupakan salah satu genre yang terdapat dalam perkembangan kesusasteraan Melayu. Lirik-liriknya baik berupa pantun, rangkapan syair mahupun puisi bebas disampaikan melalui melodi dan irama. Ada lagu yang mempunyai cerita yang panjang, ada yang berangkap namun tetap mempunyai makna yang tersirat.
  • Menganalisa lirik dan mendengar irama lagu-lagu rakyat ini serta menghayatinya jelas kepada kita betapa kebijaksanaan intelektual masa silam begitu mengkagumkan. Mereka mencipta lirik serta memadankan dengan irama menjadikan lagu-lagu ini cukup menawan dan mengasyikkan apatah lagi jika dinyanyikan dengan suara yang merdu.
  • Dalam satu hal yang lain, nyanyian rakyat memberi rumusan pada kita bahawa ia mempunyai dua tugas atau fungsi penting iaitu menghibur dan mendidik. Nyanyian rakyat merupakan satu institusi pendidikan dalam masyarakat tradisional khususnya yang disampaikan oleh seorang penyanyi serta mempunyai khalayaknya yang tersendiri.
  • Lebih jauh dari itu, melalui lagu-lagu ini juga kita melihat dan memahami betapa masyarakat masa lalu begitu dekat dan erat hubungannya dengan alam dan manusia. Lantas kemudiannya mereka mencari pencipta Yang Maha Besar untuk mereka yakini hidup dan mati. Hal-hal yang sedemikian ini jelas digambarkan oleh lirik serta irama nyanyian rakyat yang disebutkan itu.
  • Hak Cipta Terpelihara : Kementerian Kebudayaan Kesenian & Warisan Malaysia (KeKKWa)
TEBANG TEBU
Tebang tebu kuala sawa
Hujan manik mandi kota
Sirih rampai pinang berseri
Sentak peluk tangan kiri

Tebang tebu kuala sawa
Hujan manik mandi kota
Jatuh berderai bunga berangan
Sentak peluk tangan kanan

Peram-peram pisang
Pisang masak layu
Di mana kayu bongkok
Di situ kera meniti

Ayam makan padi
Itik makan beras
Orang zaman ini
Hatinya keras

Tebang tebu kuala sawa
Hujan manik mandi kota
Sirih rampai pinang berseri
Sentak peluk tangan kiri

Tebang tebu kuala sawa
Hujan manik mandi kota
Jatuh berderai bunga berangan
Sentak peluk tangan kanan.


Sila Tonton Persembahan Medley Lagu Rakyat yang menarik.

Bukit Tangga Jelebu, NS.


Gambar di atas saya ambil sewaktu pulang dari kelas tutorial di Kolej Mara, Seremban untuk pulang ke kampung saya di Jelebu, N.Sembilan. Tidak berapa jauh dari tempat ini ada sebuah tempat perkelahan yang menarik iaitu Hutan Lipur Jeram Toi. Insyaallah akan ke sini setelah selesai semua tugasan semester ke 2 ini bersama anak-anak. Mereka memang suka mandi air terjun. Dan yang paling seronok, berada betul-betul di bawah air terjun dan membiarkan curahan air terjun ini mengurut belakang dan memberikan ketenangan maksima... eerrrr sejuknyaa..... 
Sesiapa yang nak join , jom ke Jeram Toi kito!!.
Nak tahu info tentang Jeram Toi silalah klik DI SINI, DI SINI, DI SINI dan DI SINI.





        






Wednesday 4 April 2012

Cara Berkesan Memohon Hajat Sebelum Tidur

Ingin saya kongsikan amalan ini yang saya baca dari salah seorang rakan fb. Saya telah mengamalkannya dan alhamdulillah amat berkesan. (Terima kasih kepada beliau di atas perkongsian ilmu ini.)

ANTARA CARA KITA BERHAJAT SEBELUM TIDUR ATAU DALAM KRITIKAL UNTUK BERDOA HAJAT
Salam sejahtera. Kepada keluarga, sahabat, jiran-jiran, muslimin dan muslimat yang sempat membaca apa yang dicatatkan ini. Gunakanlah ilmu ini dalam kehidupan seharian kalian. Jangan gusar dengan ILMU DAN AYAT ALLAH SWT. Segala yang baik itu datangnya daripada Allah swt. Semoga kita mendapat rahmat dan barakah daripadaNYA. InsyaALLAH.
 
         Antara KHASIAT DAN RAHMAT yang saya terima: doa saya dimakbulkan oleh Allah swt kerana dengan izinNYA... dan saya bersyukur ke atasnya. Apa yang penting ialah kita perlu yakin dengan ayat ALLAH SWT. AMALKAN SETIAP HARI SEBELUM TIDUR ATAU BILA-BILA MASA DARURAT UNTUK BERHAJAT KEPADA ALLAH SWT TERUTAMA UNTUK PARA GURU DAN IBU BAPA.
Mudah dan selalu kita baca dalam kehidupan. Cuma aturannya mungkin kita kurang jelas.

       Apabila kita mengkehendaki sesuatu, sudah tentu kita berdoa. Cuba saudara/saudari sekalian cuba aturan ini dengan bacaan yang betul dan seikhlas hati secara jujurnya membaca dan MEMOHON kepada Allah swt.

1.  Ambil wuduk dan mengadap kiblat.
2.  Baca Bismillahirrahmannirrahim.
3.  Istighfar 3 x
4.  Selawat ke atas nabi 3 x
5.  Baca Al-Fatihah 3 x
6.  Baca Ayatul Qursi 1 x (Baca ikut 9 wakaf)
7.  Baca Al-Fatihah 1 x
8.  Baca Surah Al-Ikhlas 3 x
9.  Baca Surah Al-Falaq 1 x
10. Baca Surah An-nas 1 x
11. Baca Bismillahirrahmannirrahim 21 x
12. Nyatakan HAJAT : ...." Ya Allah Ya Tuhanku __________________________________....."
13. Mengucap dua kalimah syahadah
14.  PALING SEBELAH KANAN BACA ALLAHU AKBAR, KEMUDIAN PALING SEBELAH KIRI BACA ALLAHU AKBAR
15.  (JIKA SEDANG BERBARING,PANDANG ATAS, BACA Bismillahirrahmannirrahim )
       (JIKA SEDANG DUDUK, PANDANG HADAPAN, BACA Bismillahirrahmannirrahim )
16.  (JIKA BERBARING, SELEPAS ITU MENGIRING SEBELAH KANAN DAN TIDUR.

BILA BOLEH KITA IKUT ATURAN INI?
AMALKAN SEBELUM TIDUR SETIAP HARI....SEELOK-ELOKNYA BACA PADA JAM 12.01 pagi. PASTIKAN ANDA SUDAH SOLAT ISYAK.

       JIKA KITA MAHU BERTAHAJUD SELEPAS ITU, ANTARA HAJAT DALAM BACAAN MINTA ALLAH SWT SEDARKAN KITA BANGUN PAGI JAM 3.00 PAGI UNTUK BERTAHAJJUD.

       JIKA DARURAT DAN MENGALAMI MASALAH DAN PERLU BERDOA ....BILA-BILA MASA BOLEH IKUT ATURAN INI.

       HAL INI YANG SEDEMIKIAN ..... PERLU SEBATI DALAM DIRI DENGAN AMALAN. CUBA DAHULU BARU KITA TAHU KHASIAT AYAT ALLAH SWT INI.

       SEMOGA ANDA MENDAPAT RAHMAT DARIPADA ALLAH SWT DAN REDHO DI ATAS KETENTUANNYA.

ITA / KAK ITA / KAK LONG
alongupmz@yahoo.com.my

BAHASA JIWA BANGA


Friday 30 March 2012

NILAI-NILAI MURNI

NILAI BERKAITAN DENGAN PERKEMBANGAN DIRI

1.1 Kepercayaan kepada Tuhan
Keyakinan wujudnya Tuhan sebagai pencipta alam dan mematuhi segala suruhan-Nya berlandaskan pegangan agama masing-masing selaras dengan prinsip Rukun Negara.

1.2 Amanah
Sikap bertanggungjawab yang boleh menimbulkan kepercayaan dan keyakinan orang lain.

1.3 Harga Diri
Keupayaan dan keyakinan diri agar mampu memulia dan menjaga maruah diri dalam kehidupan.

1.4 Bertanggungjawab
Kesanggupan diri seseorang untuk memikul dan melaksanakan tugas serta kewajipan dengan sempurna.

1.5 Hemah Tinggi
Beradab sopan dan berbudi pekerti mulia dalam pergaulan seharian.

1.6 Toleransi
Kesanggupan bertolak ansur, sabar dan mengawal diri bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan dan perselisihan faham demi kesejahteraan hidup.

1.7 Berdikari
Kebolehan dan kesanggupan melakukan sesuatu tanpa bergantung kepada orang lain.

1.8 Kerajinan
Usaha yang berterusan penuh dengan semangat ketekunan, kecekalan, kegigihan, dedikasi dan berdaya maju dalam melakukan sesuatu perkara.

1.9 Kasih Sayang
Kepekaan dan perasaan cinta yang mendalam serta berkekalan yang lahir daripada hati yang ikhlas.

1.10 Keadilan
Tindakan dan keputusan yang saksama serta tidak berat sebelah.

1.11 Rasional
Boleh berfikir berdasarkan alasan dan bukti yang nyata dan dapat mengambil tindakan berasaskan pertimbangan yang wajar.

1.12 Kesederhanaan
Bersikap tidak keterlaluan dalam membuat pertimbangan dan tindakan sama ada dalam pemikiran, pertuturan atau perlakuan tanpa mengabaikan kepentingan diri dan orang lain.


NILAI BERKAITAN DENGAN KEKELUARGAAN

2.1 Kasih Sayang terhadap Keluarga
Perasaan cinta, kasih dan sayang yang mendalam dan berkekalan terhadap keluarga.

2.2 Hormat dan Taat kepada Anggota Keluarga
Memuliakan setiap anggota keluarga dengan berinteraksi dan memberi layanan secara bersopan untuk mewujudkan keluarga yang harmoni.

2.3 Mengekalkan Tradisi Kekeluargaan
Menerima, menghormati dan mengamalkan sesuatu kebiasaan, adat dan kepercayaan yang diwarisi secara turun-temurun dalam keluarga.

2.4 Tanggungjawab terhadap Keluarga
Kewajipan yang harus dilaksanakan oleh setiap individu terhadap keluarga untuk melahirkan keluarga bahagia, meningkatkan imej dan menjaga maruah keluarga.


NILAI BERKAITAN DENGAN ALAM SEKITAR
3.1 Menyayangi dan Menghargai Alam Sekitar
Kesedaran tentang perlunya memelihara dan memulihara alam sekeliling untuk mengekalkan keseimbangan ekosistem.

3.2 Keharmonian antara Manusia dengan Alam Sekitar
Keadaan saling memerlukan hubungan yang harmonis antara manusia dengan alam sekeliling supaya kualiti kehidupan manusia dan alam sekeliling terpelihara.

3.3 Kemapanan Alam Sekitar
Pengekalan keseimbangan alam sekeliling sebagai tanggungjawab bersama untuk kesejahteraan hidup.

3.4 Peka terhadap Isu-isu Alam Sekitar
Prihatin terhadap persoalan yang berkaitan dengan alam sekeliling dan berusaha menyelesaikannya.


NILAI BERKAITAN DENGAN PATRIOTISME
4.1 Cinta Akan Negara
Perasaan sayang dan bangga kepada negara serta meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan diri.

4.2 Taat Setia kepada Raja dan Negara
Kepatuhan dan kesetiaan yang berkekalan kepada Raja dan Negara.

4.3 Sanggup Berkorban untuk Negara
Kerelaan melakukan atau menyerahkan sesuatu termasuk nyawa sebagai tanda kebaktian untuk negara.


NILAI BERKAITAN DENGAN HAK ASASI MANUSIA
5.1 Melindungi Hak Kanak-kanak
Membela, memberi naungan dan memelihara hak kanak-kanak bagi menjamin kehidupan mereka yang sempurna.

5.2 Menghormati Hak Wanita
Melindungi dan mengiktiraf wanita sebagai individu yang boleh memberi sumbangan dalam pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.

5.3 Melindungi Hak Pekerja
Menghormati, menghargai dan mengiktiraf perkhidmatan, jasa dan sumbangan golongan pekerja dalam pembangunan negara.

5.4 Menghormati Hak Golongan Kurang Berupaya
Memberi layanan yang bersopan kepada golongan kurang berupaya supaya tidak berasa tersisih dan mengiktiraf mereka sebagai insan ciptaan Tuhan.

5.5 Melindungi Hak Pengguna
Membela dan memelihara hak individu untuk menjadi pengguna yang berilmu, mendapat perkhidmatan serta barangan yang berkualiti dan tidak mudah dieksploitasi.


NILAI BERKAITAN DENGAN DEMOKRASI
6.1 Mematuhi Peraturan dan Undang-undang
Menerima dan mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditentukan tanpa mengira sesiapa dan di mana seseorang itu berada.

6.2 Kebebasan Bersuara
Kebebasan berucap dan mengeluarkan fikiran dengan batasan tertentu bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman.

6.3 Kebebasan Beragama
Kebebasan setiap individu untuk menganuti dan mengamalkan agamanya seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia.

6.4 Penglibatan Diri dalam Pembangunan Negara
Kebebasan untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti pembangunan negara dengan mematuhi peraturan, undang-undang dan Perlembagaan Malaysia.

6.5 Sikap Keterbukaan
Bersedia memberi dan menerima pandangan, pembaharuan dan kritikan selaras dengan kebenaran fakta dan norma masyarakat Malaysia.


NILAI BERKAITAN DENGAN KEAMANAN DAN KEHARMONIAN
7.1 Hidup Bersama Secara Aman
Hidup berbaik-baik antara satu sama lain dengan mengutamakan kedamaian dan keharmonian hidup tanpa mengira agama, bangsa dan budaya.

7.2 Saling Membantu dan Bekerjasama
Usaha yang baik dan membina yang dilakukan bersama pada peringkat individu, komuniti atau negara untuk mencapai sesuatu matlamat.

7.3 Saling Menghormati antara Negara
Menghargai dan memuliakan hubungan antara negara untuk menjamin kesejahteraan sejagat.


Thursday 15 March 2012

Selamat Datang ke Blog Cikgu Azian.

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia.

Salam perkenalan buat semua pengunjung yang sudi melawat ke blog saya ini. Lahirnya blog ini adalah bagi memenuhi kehendak kerja kursus KRT3013 Teknologi Maklumat Sekolah Rendah di Semester 2/2012, Program Pensiswazahan Guru, PJJ Ambilan Khas, UPSI.

Pembangunan blog ini memfokuskan matapelajaran Bahasa Melayu dan perkongsian ilmu dalam hal-hal pendidikan, motivasi dan sebagainya yang boleh dimanfaatkan oleh kita bersama. Bahan-bahan yang terkandung di dalam blog ini saya ambil daripada pelbagai sumber di dalam internet ini dan juga daripada rakan-rakan seperjuangan.

Sebarang kelemahan dan kecacatan di dalam blog ini saya pohonkan ribuan kemaafan. Saya bersedia menerima sebarang teguran, tunjuk ajar dan komen yang membina bagi memperbaiki hasilan blog ini agar memberi manfaat kepada para pembaca sekalian dan khususnya kepada anak-anak didik yang dikasihi.