"GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA"
Guru berinovasi adalah guru berkualiti: Muhyiddin
2012/05/16
KUALA KANGSAR:
Menurut Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran, Guru berinovasi adalah:
- guru yang berkualiti dalam menempuh era globalisasi yang semakin diwarnai oleh ekonomi berteraskan ilmu dan inovasi.
- guru yang mempunyai kebolehan untuk melengkapkan murid dengan kemahiran alaf baru seperti keupayaan berfikir secara bijaksana, menyelesaikan masalah dan daya kreativiti yang tinggi.
- guru yang akan menekuni kurikulum dan menilai apakah keberhasilan yang ingin dicapai.
- guru yang tidak akan terikat dengan sesuatu cara dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, sebaliknya sentiasa berfikir di luar kotak pemikiran biasa untuk mencari kaedah serta pendekatan baru yang lebih berkesan.
- guru yang memastikan murid berupaya menggunakan ilmu yang diajarkan di dalam bilik darjah bukan semata-mata untuk berjaya dalam peperiksaan malah membolehkan mereka menyelesaikan masalah yang dihadapi di dunia nyata.
- guru yang mampu menyediakan persekitaran pembelajaran paling kondusif dan memberi ruang seluas-luasnya kepada murid untuk mengasah kebijaksanaan berfikir.
- guru yang berupaya menilai pencapaian dan potensi murid secara holistik serta sentiasa mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan kecemerlangan murid supaya dapat bersaing di dunia yang semakin mencabar juga adalah guru berinovasi.
- guru yang sentiasa memikirkan apakah cabaran yang bakal dihadapi oleh murid setelah mereka melangkah keluar dari lingkungan sekolah, dan apakah ilmu yang dipelajari di sekolah mampu memberi kelebihan kepada mereka untuk bersaing di dunia nyata.
Sekiranya semua guru di negara ini adalah guru inovasi, Muhyiddin yakin matlamat untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan tinggi, kreatif, inovatif dan berketrampilan akan tercapai.
Katanya, bagi memantapkan budaya inovasi di sekolah, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi sedang merangka Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovatif untuk menyemai budaya inovatif dan kreatif di kalangan murid.
Muhyiddin berkata, menerusi pelan ini, sekolah akan bertindak sebagai agensi pelaksana yang menjalankan pengajaran dan pembelajaran secara kreatif.
"Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovatif diharap akan digunakan sepenuhnya oleh guru sebagai garis panduan untuk mencapai hasrat negara meningkatkan keupayaan daya saing negara yang diukur berdasarkan kemampuan rakyat untuk berinovasi," katanya.
Beliau berkata, kerjasama kementerian dengan Agensi Inovasi Malaysia untuk membudayakan kemahiran berfikir melalui Program i-Think juga adalah pendekatan baru yang sesuai digunakan oleh guru untuk meningkatkan pena'akulan di kalangan murid.
"Program ini sudah dirintis di 10 sekolah dan diharapkan dapat diperluaskan ke seluruh negara untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran," katanya.
Sumber: Berita Harian